Gerik: Mayat yang tidak dikenalpasti identiti ditemui dalam keadaan reput di Kilometer 24 Jalan Gerik-Kupang, dekat Hentian Rehat Bukit Hijau, di sini, semalam.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, mayat itu ditemui oleh pemotong rumput warga Bangladesh dalam keadaan lengkap berpakaian.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Jamalani Mohd Isa berkata, mayat itu ditemui lima meter dari jalan raya.

Katanya, keadaan mayat lengkap berbaju kemeja petak berwarna biru putih berlengan panjang dan berseluar jeans panjang biru gelap.

Menurutnya, terdapat kesan luka di pinggang yang masih belum dikenal pasti punca.

“Mayat dibedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh dan keputusan dijangka diketahui lewat petang ini,” katanya. MyMetro