KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan reput dan kembung di bahagian perut di dalam sebuah van yang diletakkan di stesen minyak, petang semalam.

Mayat mangsa, Lee Yueh Hua, 49, ditemui di tempat duduk pemandu van berkenaan selepas beberapa hari kenderaan itu dilihat diletakkan di stesen minyak di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Seorang saksi yang tidak mahu dikenali berkata, mayat mangsa ditemui oleh pekerja stesen minyak itu.

“Pekerja stesen berasa curiga apabila melihat van itu berada di seten sejak dua hari lalu.

“Apabila mereka membuat pemeriksaan, mereka menemui mayat lelaki berkenaan dalam keadaan reput dan kembung. Mereka kemudian memaklumkan kepada polis mengenai perkara itu pada jam 5.30 petang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, berkata pihaknya berdepan kesukaran untuk mengeluarkan mangsa dari tempat duduk pemandu berikutan keadaan mayat yang sudah reput.

“Kami memerlukan bantuan daripada pihak bomba untuk mengeluarkan mayat berkenaan yang tersepit pada streng van berkenaan.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sudah meninggal dunia dalam tempoh tiga ke empat hari lalu berdasarkan keadaan mayatnya,” katanya.

Munusamy berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.

“Kami sudah merakam keterangan daripada saksi dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak terbabit bagi membantu siasatan.

“Pemeriksaan lanjut turut menemui ubat batuk, mangkuk belerang, arang serta air minuman di dalam van berkenaan,” katanya.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) – berita harian