Pasir Puteh: “Saya ingatkan sampah, rupanya mayat,” kata nelayan Mohd Nawawi Abdullah, 31, yang menemui mayat lelaki di muara Tok Bali, di sini, jam 7.30 pagi semalam.

Mayat lelaki dipercayai warga asing berusia 40-an itu dibawa ke Hospital Tengku Anis untuk bedah siasat.

Mohd Nawawi berkata, sebelum kejadian itu, dia bersama dengan beberapa nelayan lain dalam perjalanan menangkap ikan.

Katanya, kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian, dia ternampak objek seperti sampah terapung.

“Kami meneruskan perjalanan dan terkejut mendapati objek itu adalah mayat. Saya terus menghubungi rakan dan memintanya menghubungi pihak berkuasa.

“Sementara menunggu pihak berkuasa, saya ikat kaki mayat itu dengan pelampung untuk mengelakkannya hanyut dan tenggelam,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dia berkata, 10 minit selepas itu, bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tiba untuk mengambil mayat.

“Susulan penemuan mayat itu, saya dan rakan membatalkan perancangan ke laut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Deputi Superintendan Abdul Rozak Mohamad mengesahkan penemuan mayat terbabit.

“Setakat ini identiti masih belum dikenal pasti. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya – metro