SUNGAI BULOH: Mayat seorang wanita yang ditemui pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi disahkan Silawati Zailan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan S Somu, berkata mayatnya ditemui tersangkut di celah tebing kira-kira 13 kilometer dari lokasi kejadian.

“Kita menemui mayat ketiga, seorang wanita yang kemudian disahkan sebagai Silawati Zailan berusia 31 tahun.

“Mayatnya sudah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat dan akan diserahkan kepada waris.

“Operasi mencari akan diteruskan dan berharap dua lagi mangsa dapat ditemui,” katanya di sini, hari ini.

Mayat Silawati adalah mayat ketiga ditemui selepas mayat seorang warga Indonesia, Hashir, 38, manakala seorang lagi mangsa dikenali sebagai Jamaluddin Rapawi, 14.

Dua lagi mangsa masih belum ditemui iaitu Rapawi Jum’ada, 37, dan Jeleha Hashim, 48 – berita harian