TAIPING: Polis menemui mayat seorang lelaki terapung di sungai kawasan Matang, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Taiping, Harrith Kam Abdullah berkata, mayat lelaki yang tidak dikenali identitinya itu ditemui berpakaian seluar pendek berwarna gelap.

Menurut beliau, mayat telah reput dan dijangka telah mati di antara dua hingga tiga hari dan tangan kiri si mati mempunyai enam jari.

“Identiti mangsa masih lagi belum diketahui kita akan siasat identiti sebenar si mati dan semak dengan rekod manusia hilang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mayat itu telah dirujuk kepada pakar bedah di Hospital Taiping untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Katanya, kes disiasat dari sudut mati mengejut sehinggalah mendapat pengesahan pakar patologi.