TAIPING: Mayat wanita hampir reput ditemukan dalam rumah di Taman Taikon Villa, Aulong, sekitar jam 4.36 petang di sini pada Sabtu.

Menurut jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping, pihaknya menerima panggilan dari pihak polis memohon bantuan pihak bomba membukakan pintu rumah yang berkunci.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati pihak polis telah bersedia di lokasi kejadian dan anggota terus melakukan kerja tersebut.

Anggota bertindak memotong mangga pintu yang berkunci menggunakan bolt cutter.

“Setelah pintu berjaya dibuka, didapati terdapat satu mayat wanita hampir reput berada di dalam rumah tersebut, tindakan seterusnya diserahkan pada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Mazli Mutalib dan tamat pada jam 4.58 petang.