TANJUNG MALIM – Satu mayat yang telah reput dipercayai wanita ditemukan dalam longkang di Jalan Besar Behrang Ulu ke Proton City Tanjung Malim, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat tentang penemuan mayat tersebut pada pukul 4.32 petang.

Katanya, mayat dalam keadaan tertiarap dan belum dikenal pasti identitinya itu dipercayai telah meninggal dunia lebih 10 hari berdasarkan keadaannya yang telah mereput.

“Jantina mayat dipercayai perempuan berdasarkan kain dan baju yang dipakai. Mayat tersebut telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh untuk bedah siasat.

“Mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat yang dilakukan mendapati punca kematian akibat trauma objek tumpul,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, tiada dokumen pengenalan diri ditemui di lokasi kejadian dan mangsa yang tidak pasti daripada bangsa apa dianggarkan berusia antara 16 hingga 30 tahun.

Ujarnya, pakaian yang dipakai mangsa ketika dijumpai adalah blaus berwarna merah, berlengan panjang berbunga dan berbutang penuh serta seluar panjang hitam berjalur putih dan bergetah di pinggang.

“Terdapat satu botol clorox berdekatan mayat iaitu dalam jarak 36 meter manakala penutup botol pula pada jarak 30 meter. Botol tersebut telah diambil oleh pihak forensik untuk pengesanan cap jari.

“Tempat kejadian merupakan di tepi jalan besar Behrang Ulu menghala ke Proton City. Tiada taman perumahan berdekatan melainkan hutan dan semak samun selain keadaan gelap pada waktu malam,” katanya.

Tambah beliau, sesiapa yang ada kehilangan ahli keluarga atau mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Muallim, Asisten Superintenden Wan Rozaman Wan Harun di talian 014-6666604. – UTUSAN ONLINE