BIDOR – Misteri kehilangan seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang pada 12 Mei lalu akhirnya terungkai apabila mayatnya ditemukan di dalam parit di Jalan Gedong di sini hari ini.

Mangsa Liew Chong Meng, 76, dari Jalan Paku, Bidor, ditemukan orang awam dalam keadaan tertiarap di dalam parit di belakang pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) sekitar jam 2 petang.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, anggotanya menerima maklumat daripada orang awam menjumpai basikal berwarna merah dipercayai milik mangsa yang dilaporkan hilang di dalam parit tersebut.

“Anggota polis bersama pasukan bomba dan orang ramai kemudiannya telah menjalankan gerakan mencari mangsa dan telah menjumpai mayat mangsa di dalam parit belakang Pencawang TNB.

“Kita percaya mayat mangsa dihanyutkan air dan ketika mangsa ditemukan masih berbaju kemeja berpetak warna hitam dan putih serta lengkap berseluar,” katanya dalam satu laporan di sini.

Anggota bomba berjaya menemui mayat mangsa dan membawanya keluar sebelum diserahkan kepada polis.- FOTO IHSAN BOMBA
Anggota bomba berjaya menemui mayat mangsa dan membawanya keluar sebelum diserahkan kepada polis.- FOTO IHSAN BOMBA

Menurut Wan Azharuddin, mayat mangsa berada dalam keadaan tertiarap dan tidak sempurna serta berulat dipercayai telah lama meninggal dunia.

“Pemeriksaan ke atas tubuh badan mayat si mati mendapati ada kesan luka di atas kepala seperti kesan terhantuk dengan luka panjang dianggarkan satu inci.

“Hasil semakan kita mendapati mangsa merupakan individu yang dilaporkan hilang pada 12 Mei lalu,” katanya.

Tambahnya mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tapah bagi bedah siasat untuk mengetahui punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Ketua Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat Bidor, Pemangku Penyelia, Muhd Zaini Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada anggota polis pada jam 2.53 memaklumkan kejadian berkenaan.

“Setibanya kami di sana pihak polis memaklumkan terdapat laporan seorang lelaki dilaporkan hilang dan mendapati mangsa terjatuh di dalam longkang dan meminta bantuan bomba mencari mangsa di lokasi.

“Anggota bomba kemudiannya menjalankan operasi mencari dan berjaya menemui mangsa tersangkut di kayu dalam keadaan tertiarap dan telah meninggal dunia,” katanya – Sinar harian