BATU GAJAH – Menteri Besar mengarahkan satu kajian teliti diadakan terhadap projek pembinaan hidro elektrik mini di Kampung Ulu Geruntum, Gopeng yang dilaporkan menerima tentangan segelintir masyarakat Orang Asli di situ.

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, hasil kajian itu nanti akan diperhalusi secara komprehensif oleh kerajaan negeri sebelum apa-apa keputusan dibuat.

“Saya telah minta exco bertanggungjawab untuk lihat dari semua segi seperti keadaan aliran sungai, kawasan pelancongan di situ dan sebagainya.

“Soal impak sosial dan alam sekitar itu saya ingat di peringkat ini lebih baik kita tunggu penilaian dibuat terlebih dahulu daripada saya membuat sebarang komen mengikut andaian sendiri,” kataya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini pada Rabu.

Dr Zambry berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bantahan segelintir penduduk Orang Asli di kawasan itu terhadap projek berkenaan kerana mendakwa ia bakal memberi kesan negatif terhadap mereka.

Dalam pada itu, Menteri Besar memberitahu, projek berkenaan dibangunkan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap sumber mineral seperti arang batu bagi penjanaan tenaga elektrik.

“Isu penjanaan kuasa untuk memenuhi keperluan umum adalah sebahagian daripada protokol, apa yang telah ditunjukkan kepada kerajaan negeri sebelum ini adalah berdasarkan laporan dibuat.

“Projek itu tidaklah bermaksud dibuat tanpa sebarang kajian kerana di mana sekali pun projek nak dibangunkan ia perlu mengikut peraturan ditetapkan, kita hanya mahukan laporan komprehensif yang terbaharu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan,” jawab beliau.

Exco yang dipertanggungjawabkan membuat kajian berkenaan adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kassim dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.