IPOH– Keunikan rasa dan resipi yang digunakan dalam masakan bubur lambuk sejak tahun 1980-an, menjadi sebab mengapa ramai orang berpusu-pusu untuk mendapatkan juadah yang menjadi sinonim dengan RTM Perak setiap Ramadan saban tahun.

Malah, kesudian Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu untuk mengedarkan bungkusan bubur lambuk buat mereka yang datang di perkarangan Kompleks Penyiaran Negeri Perak mendapat sambutan begitu menggalakkan.

Menurut Pengarah Penyiaran Negeri, Sabri Mansor, 11 periuk besar digunakan untuk memasak bubur lambuk, dengan agihan 2,700 bekas bagi tahun ini.

“Kami sediakan tiga perasa bubur lambuk iaitu daging, ayam dan udang. Tukang masak yang bertanggungjawab menyediakan hidangan ini juga merupakan bekas kakitangan RTM Perak.

“Apa yang membuatkan kami terharu dan teruja apabila Menteri Besar sendiri setuju untuk hadir meluangkan masa hampir sejam, walaupun dengan jadual yang padat,”kata Sabri di Program Bubur Lambuk Eksklusif Perakfm di sini pada Isnin.

Dalam pada itu ujarnya, proses memasak seawal jam 8 pagi dan agihan bermula jam 2.30 petang, dengan kerjasama dari 50 kakitangan RTM Perak dan Perakfm.

“Kerja-kerja merewang dan memasak dilakukan di sini, selesai memasak dalam 12.30 tengahari.

“Boleh dikatakan sembilan periuk bubur lambuk daging dan selebihnya ayam dan udang, sambutan dari orang ramai sangat mengalakkan,”katanya.

Terdahulu, YAB Ahmad Faizal dan isteri YABhg. Dr. Nomee Ashikin Mohammed Radzi mengedarkan bubur lambuk kepada orang ramai, di samping beramah mesra dengan kakitangan yang terlibat dalam program tersebut.