IPOH 7 Nov. – Tiada lantikan lain dibuat selepas ahli perniagaan, Koon Yew Yin digugurkan daripada Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Perak (SEAC) setelah dakwaannya yang sangat serius terhadap Almarhum Sultan Azlan Shah berhubung amalan rasuah dalam pengurniaan darjah kebesaran negeri Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau juga tidak mahu perkara itu diperbesar selepas Yew Yin telah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Nga Kor Ming kerana mengkritik Pengerusi DAP Perak itu berhubung isu berkenaan.

Menurutnya, tentunya dalam apa yang dilakukan, ada banyak masalah tetapi masalah harus diselesaikan dengan cara yang lebih membina.

“Kadang-kadang ada seseorang menyebut perkara itu tanpa kita perlu perbesarkan kerana ia akan menimbulkan persepsi negatif dan orang takkan berhenti bercakap.

“Jadi, hari ini saya hendak minta kepada semua orang, kita kena kurang bercakap pasal politik serta perkara-perkara yang kurang memberi manfaat kepada usaha kita untuk membina Malaysia Baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara kerajaan negeri dan AmBank Islamic bagi memudahkan kutipan cukai tanah melalui JomPAY di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Ahmad Faizal diminta mengulas mengenai kenyataan Yew Yin yang mempersoalkan Kor Ming kerana membenarkan Menteri Besar menggugurkan keahliannya daripada SEAC.

Yew Yin yang menyatakan kekecewaannya terhadap Kor Ming di laman blog miliknya berkata, selain telah memberikan bantuan kewangan kepada empat parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH), beliau juga berkempen di beberapa lokasi dalam negeri Perak bagi memastikan kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). – UTUSAN ONLINE