SITIAWAN: Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) hari ini mengambil inisiatif mendekati pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Dalam program motivasi yang disusun sempena Program Permukiman Menteri Besar di Daerah Manjung, seramai 200 pelajar dari SMK Methodist ACS di sini tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan nasihat daripada barisan kepimpinan kerajaan negeri yang hadir.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid yang hadir di program itu sempat menyampaikan panduan dan memberi dorongan kepada pelajar yang menyertai ceramah itu.

MBinc-motivasi 3

Beliau berkata, para pendidik dan ibubapa perlu memainkan peranan aktif bagi mengetahui serta merungkai permasalahan yang dialami oleh pelajar khususnya yang bakal menamatkan persekolahan peringkat menengah kelak.

“Setiap daripada mereka mempunyai kemahiran, minat dan kecenderungan yang berbeza namun adakalanya mereka dikaburi oleh pengaruh rakan, pilihan teman-teman dan kebuntuan dalam memilih perjalanan masa depan mereka.

“Justeru, adalah penting untuk aktiviti ceramah dan program motivasi yang dibarisi oleh pemain industri yang berpengalaman dalam bidangnya didekatkan dengan para pelajar.
“Ia boleh dilakukan selain perbualan di antara tenaga pengajar dengan anak didik, serta ibu bapa bersama anak-anak masing-masing,” katanya ketika berucap pada Program Motivasi MB Inc: Merentasi Batasan Imaginasi pada Rabu.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MB INc, Datuk Aminudin Hashim berkata, persiapan psikologi dan dorongan oleh mereka yang berpengalaman adalah amat penting untuk belia pada hari ini.
“Apa sahaja intipati yang kita berikan dalam Program Motivasi ini adalah tidak lain untuk memupuk minat mereka bertanya sebarang kemusykilan di alam pekerjaan kelak dan kami menjawab pertanyaan mereka mengenai pilihan kursus apabila tamat persekolahan.

“Di sinilah kita cuba membentuk mereka dengan panduan agar mereka berasa yakin untuk mencuba yang terbaik dalam STPM dan SPM kelak, kerana dari bangku sekolahlah terbentuk seorang yang bakal mengubah ekonomi, menerajui Malaysia satu hari nanti,” katanya kepada Suara Perak.