IPOH: Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) mengambil beberapa inisiatif bagi membantu meringankan beban golongan sasar yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.

 

Antara inisiatif adalah menyumbangkan sebanyak 2,000 kotak makanan kepada golongan yang memerlukan.

Hari ini kakitangan MB Inc. dengan kerjasama Persatuan Pembangunan Manitha mengedarkan kotak makanan tersebut kepada penduduk di sekitar Bandaraya Ipoh.

Selain pengedaran makanan kepada golongan yang memerlukan, MB Inc. juga menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan COVID-19, antaranya pasukan Polis dengan menyumbangkan peralatan elektrik kepada beberapa balai polis.

MB Inc. turut menjalankan perkhidmatan percuma operasi nyahkuman dan sanitasi melibatkan 21 buah masjid dan balai polis di beberapa daerah seperti di Batang Padang, Kampar, Kinta dan Larut Matang Selama, bermula dari 20 – 24 Mac 2020.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc., Anuar Zainal Abidin, sebagai sebuah entiti korporat GLC di bawah kerajaan negeri Perak, MB Inc sedaya upaya membantu golongan yang terkesan dengan pelaksanaan PKP melalui program CSR di negeri Perak.

“Di antara inisiatif lain yang diusahakan oleh MB Inc. adalah dengan menyalurkan sumbangan sejumlah RM200,000.00 kepada Tabung  Bencana dan Bantuan Sosial Negeri Perak.

“Selain itu, MB Inc. juga turut memberi perhatian kepada golongan orang asal dan bantuan juga akan dihulurkan kepada mereka,” katanya.
MB Inc. juga sentiasa memberi penekanan kepada aspek kebajikan kakitangannya, dengan menyegerakan pembayaran gaji kepada seluruh warga kerja sebagai persediaan menghadapi lanjutan tempoh PKP sehingga 14 April 2020.

“Malahan, pihak pengurusan juga telah bersetuju untuk memberi pengecualian sewaan kepada operator-operator sebagai menunjukkan sokongan perniagaan kepada mereka,” ujarnya.
Menurut Anuar, pihaknya MB menyokong sepenuhnya langkah kerajaan dalam melaksanakan PKP sebagai satu usaha untuk mengekang dan memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar rakyat terus mematuhi perintah kawalan pergerakan dengan duduk di rumah dan hanya keluar sekiranya perlu sahaja, serta mengamalkan jarak sosial.