TELUK INTAN: Tindakan pemimpin DAP Perak cuba membandingkan MB Inc dan 1MDB dilihat hanya sebagai modal untuk menjamin jangka hayat politik mereka di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pembangkang juga dilihat seperti kekeringan idea dan mengulang persoalan MB Inc walhal sudah berkali-kali diterangkan sebelum ini.

Tegasnya, kelakuan DAP Perak itu jelas menunjukkan bahawa mereka hanya mencari kesalahan sesuatu isu untuk terus bernafas dalam dunia politik hari ini.

“Mereka sanggup melakukan pembohongan di dalam Dewan Negeri sebelum ini, membuat tuduhan-tuduhan yang celupar dan bersikap biadab, ketika mereka mengatakan saya melakukan pembohongan, mereka sebenarnya yang sedang berbohong.

“Tapi apabila saya cabar mereka untuk bentangkan sekira benar ada Perbadanan Menteri Besar negeri lain mengemukakan audit akaun mereka di Sidang DUN, itu hanya consolidated account, selebihnya mereka tidak dapat menjawab,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian setelah merasmikan dan menyempurnakan Program Ramah Mesra bersama Masyarakat Cina bersempena Program Permukiman Menteri Besar Hilir Perak di SJK © Phooi Yong, di sini pada petang Selasa.

Dr Zambry yakin bahawa pihak DAP akan terus-menerus menggunakan modal MB Inc untuk mendapatkan sokongan politik dan memastikan kelangsungan pihak pembangkang di seluruh negeri.

“Saya yakin, dia akan bermain isu MB Inc kerana bagi DAP tiada lagi isu lain dapat dibangkitkan dan dimainkan, jadi ini untuk jangka hayat politik mereka sahaja.

“Itulah rupa wajah sebenar DAP,” katanya lagi.