IPOH: Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) meraikan para pengamal media yang banyak membantu kelancaran kerja sepanjang tahun dalam satu majlis berbuka puasa ringkas di Meru.

Majlis penuh kesederhanaan itu diadakan di Goreng-goreng Kafe dan dihadiri oleh pengamal media serta kakitangan MB Inc yang mesra melayani tetamu sepanjang majlis berlangsung.

Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Datuk Aminudin Hashim berkata, kerjasama yang diberikan oleh pengamal media, baik wartawan mahupun jurukamera dan jurufoto banyak membantu mereka sejak 2013.

“Saya berharap persahabatan ini kekal dan ribuan terima kasih diucapkan atas bantuan media dalam menangkis segala tohmahan tidak berasas kepada kami.

Iftar-mb-inc 2

“Di MB Inc, kami bersikap terbuka justeru sekiranya ada kekurangan, cacat cela dan penambahbaikan atau pertanyaan, kami sedia menerima dan berbincang,” katanya dalam ucapan ringkas di majlis tersebut.

Juadah ikan masak asam pedas, pengat pisang, sup kambing berempah dan suhun masak lemak antara hidangan enak yang disajikan untuk lebih daripada 40 pengamal media dalam majlis berkenaan.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai dari Unit Setiausaha Akhbar (Unit SUA) Pejabat Menteri Besar diketuai oleh SUA, Nizamuddin Mat Isa.Iftar-mb-inc 3