IPOH: Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) Perak hari ini menyerahkan sumbangan tambahan berjumlah RM2 juta kepada dana Kerajaan Negeri Perak bagi tahun ini.

Sumbangan itu merupakan tambahan kepada pelbagai bayaran lain kepada kerajaan negeri berjumlah RM29 juta sepanjang tahun 2016 dalam bentuk royalti bahan batuan, mineral, fi dan ex-gratia.
Penyerahan sumbangan disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Datuk Aminudin Hashim kepada Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal.

Majlis disaksikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam satu majlis penyerahan cek yang berlangsung di Hotel Pullman, Bangsar, Kuala Lumpur pada Khamis.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor , Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Roslan Ariffin.

Selain menyumbang ke dana kerajaan negeri, MB Inc turut memperuntukkan RM4.2 juta untuk menjalankan 184 aktiviti tanggungjawab sosial korporat dalam tempoh dua tahun sejak tahun 2012.

Peruntukan itu bertujuan melaksanakan pelbagai bantuan amal jariah, program-program melibatkan belia, pendidikan, masyarakat, usaha penambahbaikan masjid dan memperkenalkan surau bergerak yang pertama di Perak, satu-satunya negeri yang mempunyai kemudahan tersebut.

“Sebagai sebuah agensi kerajaan yang dipertanggungjawab dan diamanahkan untuk membangunkan semula industri mineral di Perak, kami MB Inc komited untuk mempertingkatkan pendapatan hasil negeri ini.

“Ini melibatkan usaha memerangi kecurian dan ketirisan sumber hasil bumi Perak dan mempelopori industri-industri strategik yang berkapasiti menjadi sumber pendapatan baharu untuk kerjaan negeri,’’ kata Aminudin.

MB Inc diaktifkan semula pada tahun 2012 dan berperanan dalam tiga teras utama iaitu pembangunan mineral yang mampan, pembangunan hartanah yang bertanggungjawab dan mempelopori industri serta perkongsian strategik yang berdaya maju.