IPOH- Pertubuhan Rangkaian Organisasi98@Reformasi Malaysia Cawangan Perak mendesak Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu agar mengarahkan dua Exconya bercuti sehingga siasatan ke atas mereka selesai dijalankan.

Setiausahanya, Sazali Shamsudin berkata, pihaknya menggesa Exco negeri, Paul Yong Choo Kiong dan Abdul Yunus Jamhari bercuti dan melepaskan tugas hakiki buat sementara waktu.

Ujarnya, tindakan itu penting bagi menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka tidak cuba berselindung di sebalik jawatan tinggi serta menjadikan Menteri Besar sebagai perisai pertahanan.

“Laporan Polis Diraja Malaysia oleh pembantu rumah terhadap Adun Tronoh, Paul Yong dengan dakwaan pencabulan serta Adun Kuala Kurau, Abdul Yunus dengan dakwaan membocorkan kertas minit Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) bagi mendapatkan komisyen dari dua syarikat pertanian.

“Laporan ini telah menjejaskan kewibawaan kerajaan serta penyokong PH Perak yang meletakkan prinsip amanah dan integriti sebagai teras pentadbiran kerajaan PH Perak.

“Beri ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas dengan bebas dan adil “katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum mempertahankan integriti dalam kerajaan Pakatan Harapan Perak kepada Pegawai Tadbir Pejabat Menteri Besar Perak, Hanita Alang Ismail di hadapan Bangunan Perak Darul Ridzuan, pada Jumaat.

Tegasnya lagi, pemimpin politik yang dikaitkan dengan tuduhan salah laku dan sedang disiasat oleh PDRM serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar bercuti sementara dari menjalankan tugas rasmi.

Katanya, ini merupakan masa kerajaan PH berpegang kepada prinsip yang dijanjikan oleh kempimpinan Pakatan Harapan untuk terus mendapat kepercayaan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15.