TAPAH: Menteri Besar Perak YAB Ahmad Faizal Azumu berharap kepimpinan UMNO yang baharu dapat bekerjasama dengan kerajaan sedia ada.

Beliau turut berharap kepimpinan yang terpilih dapat melaksanakan tanggungjawab demi kepentingan, agama bangsa dan tanah air berbanding kepentingan diri.

“Saya ucap tahniah kepada semua yang terpilih dan saya fikir sesiapa juga yang terpilih eloklah menjalankan tanggungjawab dengan baik.

“Tapi akhirnya kita dalam apa juga parti politik fikirkanlah tentang kepentingan agama, bangsa dan tanah air, bukannya kepentingan diri,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita di Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau menyarankan agar pemimpin UMNO berganding bahu dalam menyelesaikan isu dan masalah yang dihadapi negara sehingga kini.

“Jika pihak kerajaan hari ini telah melakukan banyak perkara baik untuk menyelamatkan negara, saya harap kepimpinan UMNO dapat memberi sokongan padu.

“Bekerjasamalah tentang penyiasatan wang yang disalurkan pada tabung atau akaun UMNO, eloklah bekerjasama dengan pihak berkuasa tentang perkara ini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pemilihan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO baharu bagi penggal 2018/2021.

Ahmad Zahid yang sebelum ini naib presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden dipilih sebagai Presiden UMNO apabila mendapat 93 undi.

Pencabarnya bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin memperoleh 51 undi dan veteran parti, Tengku Razaleigh Hamzah meraih 23 undi.

Ketua UMNO Bahagian Rembau dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dipilih sebagai Timbalan Presiden UMNO.