IPOH – Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dijangka menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah esok, Sabtu berikutan pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebentar tadi.

Permohonan perkenan bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu akan berlangsung kira-kira jam 11 pagi di lokasi yang akan diberitahu kelak.

“Exco negeri Perak baharu saja mengadakan mesyuarat Exco sebentar tadi dan kita akan turut membubarkan Dewan Undangan Negeri.

“Saya telah memaklumkan Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak untuk memohon menghadap ke bawah Duli Sultan dan ianya akan mengikut tarikh seperti mana yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri.

“Dalam erti kata lain di peringkat Kerajaan Negeri Perak, kita akan turut sama membubarkan DUN dan saya jangkakan permohonan untuk menghadap Paduka Seri Tuanku akan diperkenan,”ujar Dr. Zambry.

Beliau berkata demikian ketika bercakap pada sidang media khas di Bangunan Perak Darul Ridzuan sejurus selepas pengumuman pembubaran Parlimen Pilihan Raya Umum ke-13 oleh Perdana Menteri kira-kira jam 12.30 tengahari.

Dalam pada itu ujarnya, Perak akan melancarkan manifesto selepas pelancaran di peringkat kebangsaan yang akan berlangsung Sabtu ini.

“Kita telah mengadakan beberapa siri perbincangan untuk manifesto itu, dan secara dasarnya sudah siap namun ia akan diperhalusi lagi selepas pembentangan di peringkat pusat dan akan diumumkan nanti,”katanya