IPOH – Ketua Pembangkang Datuk Saarani Mohamad telah melakukan satu kesalahan sekiranya tidak melaporkan kepada pihak berkuasa jika benar dakwaannya wujud konspirasi menjatuhkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Ahmad Faizal berkata, dakwaan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional (BN) disogok habuan atau rasuah untuk menggulingkan Menteri Besar adalah satu perkara yang serius dan perlu dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kalau beliau terang-terang (mempuyai bukti) kalau ada pihak beliau yang ditawarkan dalam bentuk rasuah dan sebagianya, beliau perlu buat laporan.

“Dia yang cakap (buat dakwaan), jadi dia perlu tampil dengan bukti..kami tak tahu, di pihak kami (Pakatan Harapan) kami tidak melakukan sebarang usaha,” katanya pada satu sidang media di sini.

Beliau juga meminta Saarani supaya hentikan melakukan sidang media setiap hari untuk melemparkan tuduhan sepanjang sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berlangsung sekiranya tidak mahu mengeluarkan sebarang bukti mengenai dakwaan dibuat.

“Sepatutnya fokus diberikan kepada membahas Belanjawan 2019, tapi kalau hari-hari buat sidang media cakap pasal gerakan menggunlingkan Menteri Besar, itu tak betul la.

“Tolonglah Saarani, fokus kepada penggulungan (Belanjawan 2019), kalau terdapat kekurangan dalam belanjawan tegurlah (kerajaan negeri), jadilah pembangkang yang, sudah-sudah lah berpolitik,” ujarnya.

Terdahulu, Saarani mendakwa gerakan untuk menggunlingkan Menteri Besar masih berterusan sehingga semalam walaupun Ketua Sekretariat PH Perak, V. Sivakumar telah melakukan laporan polis pada hari yang sama.