KAMPAR: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir bertekad untuk meneruskan agenda Perak Yang Bersih walaupun hebat dikritik oleh pihak pembangkang.

Malah katanya, kritikan pembangkang itu hanya menguatkan lagi semangat beliau untuk mewujudkan kesedaran di kalangan rakyat mengenai kepentingan kebersihan.

“Apabila saya buat kerja berkaitan kebersihan, beliau (Koo Ham) tidak boleh tahan kerana beliau sendiri tahu perkara itu berada di kawasan mereka (pembangkang), jadi mereka tak boleh terima hakikat.

“Saya tidak mahu layan kenyataan bersifah sampah daripada beliau, biarlah beliau terjun dengan labu-labunya.

“Saya yakin bahawa rakyat lebih faham mengenai hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Perak negeri yang bersih, ini memang apa yang kita sering lakukan di mana saja,” katanya kepada pemberita selepas program sesi dialog Transformasi Nasional (TN50) di sini, lewat malam Selasa.

Beliau mengulas kenyataan Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang mengkritik tindakan Menteri Besar dan exconya membersihkan sampah di Malim Nawar sebagai satu publisiti murahan.

Melalui akaun Twitternya, Koo Ham mengkritik tindakan Dr Zambry dan barisan Exco kerajaan negeri yang telah menaiki lori dan mengutip sampah di sekitar Malim Nawar.

Lengkap berseragam dan bertopi seperti pekerja perkhidmatan am Majlis Daerah Kampar (MDKpr), beliau membuat kejutan apabila memandu lori sampah sebelum melakukan tugas pembersihan bersama-sama pekerja majlis daerah itu.

Dr Zambry kemudian membuat tinjauan di Pasar Awam Malim Nawar serta mengambil peluang bertanya khabar dan beramah mesra dengan peniaga dan masyarakat setempat.