IPOH– Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akui kerajaan negeri menerima banyak harapan dari masyarakat Orang Asli untuk mewartakan tanah perkampungan mereka.

Bagaimanapun katanya, kerajaan sentiasa mencari jalan membantu mereka berhubung isu itu.

Ahmad Faizal menjelaskan setakat ini kerajaan negeri telah mewartakan sejumlah 13 ribu hektar sebagai kawasan Orang Asli.

“Kita faham kehidupan mereka dan kita lebih banyak banyak mencari jalan untuk membantu dari segi menyediakan bekalan elektrik menerusi solar.

“Kita bukan nak susahkan hidup mereka dengan menebang balak secara meluas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara agensi Kerajaan negeri Perak dan syarikat-syarikat pemaju perumahan, di bangunan Perak Darul Ridzuan pada Selasa.

Dalam pada itu, ujarnya walaupun pewartaan tanah tidak lakukan secara menyeluruh, namun kaum asal itu dan sesiapa sahaja boleh memasukinya sebagai contoh Hutan Simpan Royal Belum.

“Sekarang kita tak dapat mewartakan seluruh kawasan perkampungan mereka namun pernah ke kita dengar Orang Asli kena tangkap masuk hutan tanpa permit?

“Walaupun tidak diwartakan kita beri kebenaran contohnya Hutan Simpan Royal Belum yang kita jaga empat kali lebih besar keluasannya dari Singapur, kita tidak sentuh balak dan yemua boleh masuk tanpa masalah,” ujarnya.