IPOH: Perasmian Sukan Malaysia (SUKMA) XIX malam tadi yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzddin Shah turut dihadiri oleh beberapa Menteri Besar atau wakil kontinjen yang mengambil bahagian.

Antara mereka termasuklah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei, Mejar Jeneral (B) Datuk Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan Bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Datuk Seri Paduka Haji Abidin.

Sempena kedatangannya ke Perak, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei itu telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu, pagi ini.

Mejar Jeneral (B) Datuk Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan tiba di kediaman rasmi Menteri Besar Perak, kira-kira jam 8.30 pagi.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Mohd Gazali Jalal, Pegawai Kewangan Negeri Perak, Datuk Abu Bakar Said dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia,
Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Menteri Belia Brunei itu meluangkan masa kira-kira sejam beramah mesra dan berbincang mengenai kepentingan bersama.

Brunei menghantar kontinjen seramai 55 orang, termasuk 34 atlet yang akan mengambil bahagian di dalam beberapa acara pada SUKMA XIX dari 12 – 22 September.