IPOH: Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu menyeru rakyat agar menjunjung kasih di atas peranan Raja-Raja Melayu di dalam menuntut kemerdekaan di samping perkenan memberi peluang rakyat mentadbir Persekutuan Tanah Melayu, berdasarkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Menurut beliau, sistem itu memberikan hak kepada rakyat untuk memilih kerajaan bagi mentadbir kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan negeri.

Beliau berkata, kerajaan yang dipilih pula bertanggungjawab menjaga kedaulatan negara dan kebajikan rakyat berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.

“Syukur alhamdulillah, di atas limpah rahmat Allah SWT yang mengurniakan kebijaksanaan kepada ke Bawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu inilah, negara kita dibina di atas semangat sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan di majlis jamuan teh dan penyampaian hadiah sempena sambutan Hari Kebangsaan ke – 61 peringkat negeri Perak di Dewan Bandaran Ipoh, hari ini.

Turut berangkat, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah; Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.

Ahmad Faizal turut merakamkan penghargaan kepada semua pejuang kemerdekaan serta anggota keselamatan yang telah berkorban demi mempertahankan kedaulatan negara sejak enam dekad yang lalu.

Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat negeri Perak supaya memerdekakan diri dari belenggu syak wasangka dan prejudis.

Beliau berkata, setelah enam dekad mencapai kemerdekaan, inilah masa yang terbaik untuk membuka lembaran baru bagi memperkasakan kepercayaan dan keyakinan bahawa kepelbagaian kaum dan agama adalah sumber kekuatan negara.

“Saya mengajak semua rakyat untuk bersatu untuk mengembalikan kegemilangan negeri Perak dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih cemerlang demi generasi akan datang,” ujarnya.

Katanya, berlandaskan semangat tema Hari Kebangsaan tahun ini, Sayangi Malaysiaku, semua pihak di negeri ini harus membuktikan kecintaan kepada bumi bertuah ini dengan berpegang kepada titah Sultan Perak yang mahu melihat masyarakat berbilang kaum bersama melakukan kebaikan, menegah kemungkaran, hidup dalam suasana damai, saling menghormati, bersatu mempertahankan kedaulatan negara, Perlembangaan Persekutuan dan mendaulatkan undang-undang.

Beliau berkata, kejayaan mengisi sebuah kemerdekaan amat bergantung kepada peranan dan sumbangan yang dimainkan oleh setiap rakyat sebagai anggota masyarakat.

“Masa depan negeri dan negara ini terletak di tangan semua kita. Buktikan kecintaan kita kepada bumi bertuah ini dengan permuafakatan dan jauhi sikap “bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”.

“Moga-moga, segala usaha kerdil kita untuk mengembalikan kegemilangan negeri Perak ini mendapat rahmat dan petunjuk dari Allah SWT,” kata beliau.