IPOH – Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Berhad (AirAsia) memperkenalkan laluan baharu dari Johor Bahru ke Ipoh bermula hari ini.

Penerbangan sulung dari Johor Bahru ke Ipoh yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) pada jam 8.40 pagi tadi telah disambut oleh Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu dan ketua Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat.

YAB Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri dengan berbesar hati mengalu-alukan kedatangan pelawat baharu ke Perak.

“Saya ingin memuji usaha AirAsia dalam melancarkan laluan ini. Kami yakin bahawa perkhidmatan penerbangan terus empat kali seminggu akan terus meningkatkan jumlah pelawat ke negeri ini dan menyumbang kepada pertumbuha ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika siding media selepas menyambut ketibaan 126 penumpang menerusi penerbangan AirAsia AK6082 di LTSAS di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah AirAsia, Datuk Aziz Bakar, Exco Pelancongan Tan Kar Hing dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Zuraida Md Taib.

Ahmad Faizal menambah, adalah menjadi komitmen kerajaan negeri untuk merealisasikan potensi negeri Perak khususnya dalam sector pelancongan sekaligus menjadikan ia sebagai pemangkin ekonomi untuk kerajaan negeri melalui peluang pekerjaan dan perniagaan.

“Selain meningkatkan penjenaman produk serta pemasaran melalui platform yang betul, kerajaan negeri juga akan melihat semula modal insan di dalam industry pelancongan.
“Kami ingin menyediakan program latihan semula dan peningkatan kemahiran pengendali untuk layanan mesra, kakitangan hotel, pemandu pelancong, usahawan dan pihak-pihak yang tersenarai dalam ekosistem pelancongan,”kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal turut menyatakan bahawa kerajaan negeri sedang menubuhkan Majlis Tindakan Pelancongan Perak (PTAC) bagi mewujudkan pelan induk untuk memacu sektor pelancongan negeri.

“Usaha ini termasuk penjenamaan semula pelancongan negara, termasuk Ipoh bagi menarik lebih banyak pengunjung domestik dan asing.

”Kami mempunyai semua produk untuk menarik pengunjung termasuk permata tersembunyi di Teluk Intan, Kuala Kangsar dan Taiping serta Taman Negara Belum Negeri, Tapak Warisan Dunia UNESCO di Lembah Lenggong yang subur,” katanya
Semantara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia, Riad Asmat berkata pelancaran laluan tersebut merupakan usaha berterusan AirAsia untuk menawarkan lebih banyak laluan domestik.

“Kami berbesar hati untuk melancarkan perkhidmatan penerbangan terus dari Johor ke Ipoh yang merupakan sebuah destinasi yang dinantikan di dalam rangkaian laluan kami.

“Selain perkhidmatan terbaharu ini, kami juga telah memulakan penerbangan terus dari Johor Bahru ke Alor Setar pada hari ini dan yakin kedua-duanya akan menjadi destinasi popular untuk percutian dan perniagaan,” katanya.