IPOH – Lebih 1,000 rakyat di negeri ini telah memeriahkan Program Kayuhan Merdeka 2018 yang diadakan Dataran Bandaraya Ipoh, di sini sebentar tadi.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu yang merasmikan program berkenaan turut menyertai kayuah tersebut bersama beberapa exco dan pegawai kerajaan negeri yang lain.

Isteri Menteri Besar, Nomee Ashikin Mohammed Radzi turut bersama-sama memeriahkan program berkenaan.

Kayuhan yang bermula pada pukul 8.30 itu melibatkan laluan sejauh 20 kilometer bagi kategori terbuka dan 7 kilometer untuk vip.

Antara laluan yang terlibat Jalan Sultan Abdul Jalil, Jalan Sultan Idris Shah, Jalan Raja Di Hilir, Jalan Tambun, Jalan Hospital dan Jalan Dato Seri Ahmad.

Terdahulu para peserta diberikan taklimat keselamatan oleh Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby.

Program anjuran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersama Kerajaan Negeri Perak pada setiap tahun itu diadakan bertujuan menyemarakkan lagi Hari Kemerdekaan yang disambut setiap 31 Ogos.

Menurut salah seorang peserta Mohd Bakri Adzan, 35, program berkenaan merupakan platform terbaik untuk rakyat melakukan aktiviti riadah besama Menteri Besar yang baharu.

“Sekurang-kuranya di malam Merdeka ini kita sebagai rakyat berasa dekat sikit dengan Menteri Besar kerana melakukan aktiviti-aktiviti bersama.

“Dia memang sempoi, jumpa tadi memang mesra, tak kekok untuk bersembang, macam saya cakap tadi buat kita rasa lebih dekat dengan beliau,” ujarnya.

Bagi Zaleha Abd Bakar, 23, pula program berkenaan adalah salah satu acara yang boleh membangkitkan semangat patriotik rakyat sempena bulan kemerdekaan ini.

“Walaupun ia nampak aktiviti biasa tapi bila kita berkayuh bersama-sama dengan bangsa lain, rakyat di negeri ini, macam semangat kemerdekaan itu amat-amat dirasai.

“Saya sudah bertahun-tahun sertai program ini setiap kali merdeka, tidak pernah terlepas dan tahun ini istimewa sikit sebab dapat tengok Menteri Besar Perak baru secara berdepan,” jelas beliau.