SUNGAI SIPUT 16 Mac – Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dikatakan mengetahui gerakan untuk menjatuhkan beliau walaupun cuba menafikan perkara itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, Ahmad Faizal buat-buat tidak tahu mengenai perkara itu atas sebab politik.

Menurutnya, malah perkara itu diketahui oleh dua bekas wakil rakyat UMNO yang menyokong pelantikan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar iaitu ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohd. Radzi dan ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

“Dia tahu. Apabila benda ini berlaku (gerakan jatuhkan Menteri Besar) saya secara jujur menghantar maklumat kepada mereka. Nolee dan Zainol pun tahu perkara ini.

“Saya buat demikian dengan tujuan untuk dia (Ahmad Faizal) mengambil tindakan sepatutnya kerana dia dalam keadaan terumbang ambing dan kerajaan seperti ini tidak baik untuk rakyat.

“Tapi nampaknya dia dalam sindrom penafian walaupun dia tahu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Mengopi Bersama DSM (DatukSaarani Mohd) di Perlop 2 di sini hari ini.

Semalam Ahmad Faizal sekali lagi menafikan wujud gerakan untuk menjatuhkan beliau yang dikatakan dilakukan oleh Exco kerajaan negeri.

Ahmad Faizal berkata, cerita kononnya ada ADUN atau Exco kerajaan negeri yang tidak setia datangnya daripada Saarani. – UTUSAN ONLINE