Oleh: Aida Aziz

PANGKOR: Kerja-kerja pembinaan loji rawatan kumbahan serantau dan rangkaian paip pembetungan di Negeri Perak wajib mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas yang teruk.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pihak kontraktor yang berkenaan perlu memantau keadaan di lokasi pembinaan itu supaya tidak timbul keresahan dan bahaya pada pengguna jalan raya.

“Saya memberi nasihat kepada mereka yang melaksanakan projek ini dan pihak Kementerian yang bertanggungjawab supaya sentiasa mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri dan pihak berkuasa negeri.

“Perkara ini agak serius kerana ia melibatkan lalu lintas dan saya sudah memaklumkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk memanggil kontraktor berkenaan. Kita tidak mahu kawasan itu penuh dengan kon atau kotor.

“Kita maklum projek ini diurus terus oleh Kuala Lumpur. Namun begitu, ia dilaksanakan di Perak jadi mereka kena tahu soal peraturan (di Perak) ,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat berkaitan cadangan pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembetungan di Pasir Bogak di sini, hari ini.

Dr. Zambry berkata, keadaan jalan raya yang kotor dan sesak akibat kerja-kerja pembinaan projek itu juga akan memberikan imej buruk kepada kerajaan negeri.

“Kita tidak menolak projek yang dirancang tetapi yang menanggung kesannya ialah kerajaan negeri, baik kesan politik mahupun imej negeri,” katanya.

Pembinaan loji rawatan kumbahan itu dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Pembetungan, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta syarikat Euro Saga Sdn Bhd sebagai kontraktor utama.

Dalam pada itu, Dr. Zambry menjelaskan projek itu merangkumi penambahbaikan sistem saluran pembetungan di Ipoh dan sudah bermula sejak tahun lepas.

Bagi Pulau Pangkor pula, ia akan dilaksanakan di lokasi tertentu mengikut fasa yang ditetapkan.