IPOH: Kerajaan negeri Perak mengumumkan peruntukan tambahan RM1 juta sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, peruntukan dalam dana khas itu dibuat bagi memastikan ianya dapat disalurkan serta-merta sekiranya sebarang bencana berlaku.

“Sebelum ini kerajaan negeri telah pun memperuntukkan puluhan ribu di setiap daerah bagi tujuan sama, jadi RM1 juta ini merupakan tambahan kepada dana khas berkenaan.

“Ia untuk memastikan sekiranya berlaku sahaja (banjir) paling kurang kita telah ada dana untuk digunakan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini pada Rabu.

Tambah beliau, semua jabatan berkaitan di negeri ini juga telah diarahkan memantau kemungkinan banjir secara kerap dan memaklumkan sebarang kejadian dengan segera.

“Saya ingin menasihatkan rakyat Perak, dalam keadaan cuaca yang semakin tidak menentu kini, kita mahu semua pihak dapat bekerjasama dan sentiasa berjaga-jaga.

“Sekiranya mereka tinggal di kawasan berdekatan sungai utama atau sungai kecil, jika berlaku hujan lebat berpanjangan ambil tindakan secepat mungkin, lakukan persiapan awal,” ujar beliau.

Kata Dr Zambry lagi, setakat ini keadaan di Perak masih terkawal dan pemantauan oleh agensi-agensi terlibat sedang giat dilakukan.

“Beberapa hari lalu terdapat beberapa kejadian banjir khususnya di Hilir Perak dan saya sendiri telah ke sana untuk melihat serta beberapa bantuan telah dimumkan.

“Buat ketika ini semua pusat pemindahan telah pun ditutup dan keadaan terkawal,” katanya.