SITIAWAN: Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir hari ini menziarahi keluarga mangsa kemalangan maut yang meragut tiga nyawa di Kilometer 21, Jalan Sitiawan-Teluk Intan, 3 Disember lalu.

Dalam lawatan itu, beliau menyampaikan cek faedah pengebumian di bawah Skim Keilatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada Nadzim Mohd Taib, bapa Allahyarham Sairulazuwan Nadzi.

Dr. Zambry yang ditemani isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR), Datuk Ismail Saffian dan wakil PERKESEO Manjung turut bersama-sama dalam majlis tahlil yang dianjurkan oleh keluarga mangsa.

Ketika ditemui, Dr Zambry berkata, pihak berwajib perlu memantau aspek keselamatan semasa kerja-kerja naik taraf atau pembaikan jalan raya dilaksanakan.

WhatsApp Image 2017-12-10 at 18.12.49 (1)

“Jangan ambil mudah kerana ini soal nyawa manusia, tidak kiralah pemandu atau penunggang motosikal sekalipun. Pihak terbabit kena pastikan faktor keselamatan pengguna jalan raya.

“Saya juga meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk pantau jika ada hal berkaitan masalah teknikal di jalan tersebut, termasuklah kon jalan atau unsur yang tak diingini, selain kawasan itu yang terlalu gelap di waktu pagi atau sebagainya.

“Peristiwa ini beri peringatan kepada kita semua, dan saya tidak dapat mengulas lebih lanjut tentang kemalangan yang menimpa tiga sekeluarga ini sebelum menerima laporan terperinci dari pihak berkuasa,” ujarnya.
Pada 3 Disember lalu, Allahyarham Sairulazuwan, 37, maut setelah kereta yang dipandunya terbabas ke dalam parit sedalam 2.5 meter dekat Kampung Kayan.

Turut terkorban dalam nahas itu Islam isteri beliau, Allahyarham Azilina Abdul Aziz, 37, dan bayi berusia tiga bulan yang juga anak bongsu pasangan itu.

Mereka meninggalkan tiga orang anak lelaki iaitu Muhammad Daris Wafiy,10, Muhammad Daris Rayyan, 9, dan Muhammad Daris Amsyar, 5.

Ketiga-tiga anak mangsa itu kini di bawah jagaan datuk mereka, Nadzim Mohd Taib, 68.

PERKESO akan membayar faedah pencen Penakat kepada tiga orang anak mangsa itu bermula tempoh matang 1 Januari 2018 berjumlah RM1,515.31 sebulan sehingga mereka mencapai umur 21 tahun.

WhatsApp Image 2017-12-10 at 18.12.53WhatsApp Image 2017-12-10 at 18.12.52