IPOH: Pasukan bola sepak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) 1 muncul juara Liga Super, Persatuan Bolasepak Ipoh (PBI) selepas berjaya menundukkan Lembaga Air Perak (LAP) FC 3-0 dalam perlawanan terakhir baru-baru ini.

Perlawanan itu yang diadakan di Stadium Perak adalah penutup tirai Liga Super PBI musim 2017 / 2018.

Perlawanan tersebut amat dinanti-nantikan oleh peminat dan penyokong bolasepak tempatan kerana ia menampilkan dua pasukan teratas liga.

Sebelum sepak mula, LAP FC mempunyai kelebihan 2 mata di hadapan MBI 1 dan hanya memerlukan keputusan seri untuk menjulang kejuaraan liga.

MBI 1 yang tampil dengan misi hidup mati, bermula garang dan menampilkan aksi bertenaga sejak perlawanan bermula kerana menyedari hanya kemenangan yang mampu menobatkan mereka sebagai juara liga.

Kesungguhan mereka membuahkan hasil apabila mendahului lawan 1-0 pada separuh masa pertama dan menambah dua gol lagi pada separuh masa kedua.

Liga Super Ipoh musim 2017/2018 ini menyaksikan 12 pasukan mengambil bahagian dan pasukan MBI 1 muncul satu-satunya pasukan yang tidak pernah tewas dalam kesemua 11 perlawanan.

LAP FC muncul naib juara manakala tempat ke-3 milik pasukan DJR ‘A’

Sebagai juara, MBI 1 membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000 berserta Piala Pusingan, Piala Iringan dan medal.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ahli Majlis, MBI, Mejar (B) Kamaruddin Abd. Aziz yang mewakili Datuk Bandar Ipoh.