IPOH: Pasukan bola sepak Majlis Bandaraya Ipoh 2 telah menjuarai Piala Datuk Bandar Ipoh Edisi IV, 2017 setelah menewaskan Pasukan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dengan jaringan 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Perak pada Ahad.

Dengan kemenangan itu, MBI 2 membawa pulang wang tunai RM10,000, Piala Pusingan, Piala Iringan dan medal.

Gol-gol MBI telah dijaringkan oleh Cik Azizul dan Mohd Ifdal Hafis manakala gol MPK dijaringkan oleh Nur Iskandar.

Di peringkat kumpulan, MBI 2 telah menewaskan Majlis Daerah Sabak Bernam 2-1, Majlis Perbandaran Nilai 1-0 dan Majlis Perbandaran Kota Bharu 2-0.

Di peringkat suku akhir, MBI 2 telah menewaskan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu melalui sepakan penalti, 4-2 manakala di separuh akhir menewaskan MBI 1, 1-0.

Kemenangan itu adalah kejuaraan buat kali ke-2 setelah menjuarai Piala Datuk Bandar Ipoh pada edisi ke-2 tahun 2015.

Pasukan MBI juga telah menjuarai Piala FA Persatuan Bolasepak Ipoh dan tempat ke-2 Liga Super PBI pada tahun ini.

Menurut Setiausaha Bandaraya merangkap Pengurus Pasukan MBI, Zakuan Zakaria, pertandingan itu juga adalah antara sesi pemanas badan menghadapi Kejohanan Sukan Kerajaan Tempatan Perak (SKT) 2017.

Pada edisi 2015, pasukan Bolasepak MBI telah menjuarai Kejohanan Sukan Kerajaan Tempatan Perak.

mbi-juara 2