Oleh: Shafiq Noordin

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) diiktiraf sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) terbaik di Malaysia untuk tahun 2016.

Ia diumumkan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar selepas penilaian melalui Sistem Penarafan Bintang PBT (SPB-PBT) dibuat sepanjang tahun lalu.

c806a61b-6e0e-4a95-9d95-8e459c7c9be0Menurut Noh, selain MBI, tujuh lagi PBT lain di Perak turut mendapat penarafan lima bintang di bawah SPB-PBT.

“Terdapat 41 PBT seluruh negara mencapai penarafan lima bintang, tetapi MBI telah berjaya mendapat markah tertinggi dengan 97.45 peratus manakala diikuti dengan Majlis Daerah Manjung dengan 94.75 peratus di tangga ke-9 terbaik negara.

“Buat pertama kali dalam sejarah MBI telah mendapat tempat pertama secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Penduduk sesi 2017-2019 dan Penganugerahan Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan 2016 Bagi Negeri Perak di sini pada Isnin.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

d1945683-6857-4cd4-9a18-9d3916664dc0

Tujuh PBT negeri Perak yang turut mendapat penarafan lima bintang ialah Majlis Daerah Manjung (94.75%), Majlis Daerah Batu Gajah (92.60%), Majlis Perbandaran Taiping (92.36%) dan Majlis Daerah Kampar (92.01%).

Ia diikuti dengan Majlis Daerah Kerian (91.43%), Majlis Perbandaran Teluk Intan (90.63%) dan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (90.62).

Noh berkata, kejayaan PBT tersebut merupakan manifestasi keberkesanan sistem pentadbiran yang diamalkan dalam negeri ini di bawah pimpinan Dr Zambry.

“Tahniah saya ucapkan kepada Perak atas kegigihan serta kerjasama yang diberikan kepada KPKT dalam memastikan rakyat di kawasan bandar atau pun luar bandar dapat hidup dalam keadaan sejahtera,” ujar beliau.

Senarai 10 PBT yang mendapat taraf lima bintang di bawah SPB-PBT untuk tahun 2016 adalah seperti berikut:

1. MB Ipoh
2. MB Pulau Pinang
3. MB Johor Bahru
4. MP Subang Jaya
5. MP Kluang
6. MB Petaling Jaya
7. MP Sepang
8. MP Kota Bharu
9. MP Manjung
10. MP Kajang