IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Bandar Ipoh 2019 setelah menewaskan pasukan Majlis Bandaraya Alor Setar 1-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Perak.

Tuan rumah MBI memperolehi jaringan menerusi tandukan Divinesh Kumar yang menerima hantaran cantik kapten pasukan, Muhamad Fadli Zahari pada babak pertama permainan.

Kemenangan itu membolehkan MBI membawa pulang wang tunai RM10,000, Piala Pusingan, Piala Iringan dan medal.

Selain muncul juara, MBI turut memenangi dua kategori lain iaitu Pemain Terbaik Perlawanan Akhir menerusi kapten pasukan, Muhamad Fadli Zahari dan Penjaga Gol Terbaik, Muhamad Firdaus Ahmad Termize, manakala Penjaring Terbanyak dirangkul oleh pemain MB Alor Setar.

Setiausaha Bandaraya merangkap pengurus pasukan MBI, Mohd Zakuan Zakaria berkata, pasukannya yang dibimbing jurulatih legenda, Datuk M. Karathu, berjaya mengharungi tempoh kejohanan dengan tahap disiplin yang tinggi dan mempamerkan aksi berpasukan yang meyakinkan.

Katanya, walaupun semua pemain keletihan, pengalaman bermain di beberapa kejohanan kompetitif sepanjang tahun ini menjadi ‘bekalan’ berguna kepada pasukan MBI untuk memastikan mereka menjuarai kejohanan edisi 2019.

“Kemenangan ini merupakan kejuaraan sulung pasukan MBI kerana dalam dua edisi sebelum ini, kejohanan ini didominasi oleh pasukan ‘adik’ mereka iaitu MBI 2.

“Namun pada edisi tahun ini, pasukan MBI 2 gagal mencipta hatrik muncul juara apabila tersingkir di separuh akhir, tewas kepada MB Alor Setar dalam penentuan sepakan penalti selepas seri 2-2 dalam masa permainan sebenar,” katanya.

Pasukan MBI menewaskan Majlis Daerah Besut 1-0 dalam satu lagi separuh akhir unttuk melangkah ke final.

Sebagai rekod, pasukan MBI menerusi MBI 2 juga telah menjuarai Piala FA Persatuan Bolasepak Ipoh dan kedua-dua pasukan ‘abang-adik’ MBI dan MBI 2 pada masa ini sedang mendahului carta Liga Super Persatuan Bolasepak Ipoh yang berbaki 2 perlawanan untuk musim 2019 ini.

“Kemenangan ini pastinya menyuntik moral pemain untuk terus beraksi cemerlang dalam kejohanan akan datang,” ujarnya.

Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan oleh YBhg. Datuk Bandar Ipoh, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.