IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak akan membunuh anjing liar yang ditangkap di sekitar bandar raya ini, sebaliknya akan menggunakan kaedah ‘Trap-Neuter-Release’ atau Tangkap-Kasi-Lepas (TNR).

Anggota Majlis MBI, Aldrich Low Guo Nan berkata melalui kaedah itu, haiwan berkenaan akan dimandulkan bagi mengelak pembiakan, sekali gus mengatasi masalah terhadap penduduk termasuk daripada aspek keselamatan.

“Kos pembedahan bagi memandulkan anjing menelan belanja sehingga RM200 seekor dan ia ditanggung oleh komuniti di kawasan setempat,” katanya kepada pemberita selepas operasi menangkap anjing liar di sekitar Taman Bercham Baru di sini, hari ini.

Operasi tersebut turut mendapat kerjasama Persatuan Mencegah Kezaliman Terhadap Binatang Ipoh (ISPCA) serta komuniti setempat.