LANGKAWI: Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik, tidak mengenal batas sempadan negeri.

Meningsafi keperluan Rumah Anak-Anak Yatim Nur Kasih di Ulu Melaka di sini, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak berkunjung ke rumah kebajikan itu pada Sabtu.

Kunjungan itu sempena program ‘retreat’ bagi merapatkan lagi hubungan pihak berkuasa tempatan itu dengan media.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam MBI, Mohd Syahrizal Azmi, program seumpama itu adalah yang pertama kali dianjurkan bersama kedua-dua pihak di luar Ipoh.

“Secara kebetulan kita mengadakan program ‘retreat’ di sini, jadi kita tidak lupa anak-anak yatim di sini dan insya Allah kita akan teruskan program seumpama ini,” katanya kepada media pada majlis itu.

Sempena majlis itu, pihak pengajur menyampaikan sumbangan wang tunai, makanan dan payung kepada anak-anak yatim di Rumah Nur Kasih.

Selain MBI dan Kelab Media, sumbangan turut diterima daripada Pejabat Menteri Besar Perak, Syeun Hotel Ipoh, Tourism Perak dan Nadias Hotel Langkawi.

Presiden Kelab Media, Rosli Mansor berkata, pihaknya akan terus mengadakan program CSR itu dari semasa ke semasa sebagai tanda prihatin pihak media kepada golongan yang memerlukan.

“Kami berharap sumbangan ini dapat serba sedikit membantu Rumah Nur Kasih dan anak-anak di sini.

“Kami ucapkan terima kasih kepada pihak MBI, khususnya Setiausaha Bandaraya, Encik Mohd Zakuan Zakaria kerana sudi menganjurkan program ini bersama-sama kami,” ujarnya.

Sementara itu, Penyelia, Norimah Md Shariff melahirkan rasa terharu menerima kedatangan rombongan dari Perak itu.

“Kedatangan rombongan seumpama ini serba sedikit dapat menghiburkan dan mengembirakan anak-anak yatim di sini,” katanya.

Rumah Nur Kasih dibuka pada 2010 dan berpindah ke tempat baharu pada hujung 2017.

Setakat ini ia menempatkan
64 kanak-kanak lelaki berumur antara 7 – 9 tahun yang terdiri daripada anak-anak yatim, anak asnaf zakat, muallaf dan ibu bapa bercerai.

Tiada yuran dikenakan dan mereka menerima sumbangan daripada pelbagai pihak, termasuk persatuan kaum Cina yang menyumbangkan buku-buku.