IPOH : Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mencatat kejayaan tersendiri apabila muncul johan bagi dua kategori pada acara perbarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2019 Peringkat Negeri Perak yang berlangsung di Dataran Warisan Taiping hari ini.

MBI diumumkan johan Kawad Kategori Pihak Berkuasa Tempatan, Badan Berkanun, Swasta & Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) serta johan Kategori Pakaian Terbaik.

Pegawai Perhubungan Awam MBI, Mohd Syahrizal Azmi memberitahu, kontinjen seramai 57 orang itu disertai pegawai dan petugas daripada pelbagai jabatan yang telah memulakan latihan sejak sebulan lalu.

Menurut beliau, kejayaan merangkul dua kemenangan itu mengulangi pencapaian sama pada tahun lalu manakala sebelumnya juara pakaian terbaik dan tempat kedua kategori kawad.

“Pakaian peserta perbarisan adalah hasil rekaan pereka dalaman MBI, Faridah Abd. Aziz yang menampilkan konsep gaya hidup gemilang dan kreatif menggambarkan Jalur Gemilang serta busana tradisional lengkap dengan tanjak dan kain samping.

“Rekaannya juga kelihatan futuristik melambangkan teknologi dan masa hadapan manakala bintang berbucu 14 pada bahagian dada dengan logo MBI pula melambangkan kesatuan,” ujar beliau.

Kejayaan ini juga hasil sokongan padu daripada Datuk Bandar Ipoh, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Setiausaha Bandaraya MBI, Mohd. Zakuan Zakaria.

Kemenangan itu menyaksikan kontinjen MBI membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 bagi setiap kategori serta sijil yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Sementara itu kategori kontinjen jabatan kerajaan terbaik dimemangi Jabatan Agama Islam Perak manakala pancaragam terbaik milik Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Nan Hwa Sitiawan dan kategori institusi pelajaran tinggi pula dimenangi Universiti Pendidikan Sultan Idris.