IPOH: Pasukan bolasepak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) meneruskan rekod cemerlang apabila merangkul kejuaraan Liga Super Ipoh 2019/2020 selepaskan menewaskan pasukan Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) 2-0 pada perlawanan terakhir di Stadium Perak, baru-baru ini.

Perlawanan menemukan dua pasukan teratas liga, MBI dan MDBG sebagai pelengkap jadual liga.

MBI yang konsisten dalam setiap perlawanan liga, berjaya mengutip mata maksimum selepas lapan perlawanan dan dinobatkan sebagai Juara Liga Super Ipoh 2019/2020 sebelum perlawanan dimulakan.

Masih segar sebagai juara Kejohanan Bolasepak Piala Datuk Bandar Ipoh bulan lalu, MBI pada menguasai hampir 70 peratus permainan.

Pemain lincah, Muhammad Zamir Zamzuri berjaya melepasi perangkap ‘offside’ pasukan lawan seterusnya memperdaya penjaga gol untuk memberikan kelebihan 1-0 pada separuh masa pertama.

Pada separuh masa kedua, Muhamad Fadli Zahari sekali lagi menewaskan penjaga gol lawan menerusi gerakan cantik dari sebelah kiri gol, menjadikan kedudukan 2-0 sehingga tamat perlawanan.

MBI mencipta rekod tersendiri apabila berjaya mengharungi Liga Super Ipoh musim 2019/2020 dengan memenangi kesemua sembilan perlawanan dan mengutip mata maksimum.

Kemenangan ini melayakkan MBI menerima Piala Pusingan, medal dan wang tunai RM6,000 manakala MDBG yang menduduki tempat kedua liga membawa pulang wang tunai RM5,000 dan medal.

Tempat ketiga pula menjadi milik pasukan MBI 2, yang baru ‘dinaikkan’ ke Liga Super dan membawa pulang RM3,000 serta medal.

Pengurus pasukan MBI dan MBI 2, Mohd Zakuan Zakaria menganggap kejayaan kedua-dua pasukan berada di kedudukan tiga teratas liga merupakan sesuatu yang tidak dijangka kerana kesemua pasukan di dalam Liga Super Ipoh membariskan pemain-pemain yang berpengalaman dan terbaik.

“Syukur Alhamdulillah, berkat usaha berpasukan dan disiplin yang ketat yang diterapkan di dalam pasukan berjaya membuahkan hasil,” ujarnya.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Ipoh- merangkap Exco Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Tuan Joharudin Johar Ali.