IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjelaskan bahawa cukai taksiran di bandar raya itu tidak pernah dinaikkan, malah masih menggunakan kadar yang sama sejak tahun 1982.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, pengumuman itu perlu dibuat kerana wujud kekeliruan di kalangan penduduk Ipoh yang mengatakan cukai taksiran telah dinaikkan baru-baru ini tanpa dimaklumkan terlebih dahulu.

Menurut beliau, hakikatnya MBI telah melakukan kerja-kerja penilaian semula dan mengemaskini pegangan-pegangan (premis) di bawah sempadannya sejak 2013 yang melibatkan 137,967 premis.

“Hasil daripada penilaian semula itu, terdapat premis yang mengalami pindaan nilai tahunan ekoran pembangunan hartanah yang berjalan serta tindakan pemilik yang melakukan perubahan terhadap premis masing-masing.

“Sebagai contoh, rumah kita dahulu saiznya 600 kaki persegi namun tahun depan jadi 1,000 kaki persegi, perubahan yang berlaku itu sudah tentu akan memberi kesan kepada cukai.

“Kita menggunakan formula pengiraan yang sama iaitu keluasaan sesuatu bangunan itu kali dengan kadar cukai, jadi ini bukan bermaksud kita naikkan cukai taksiran” katanya pada satu sidang media khas di sini pada Selasa.

Tambah beliau, melalui kerja-kerja penilaian semula terbabit terdapat juga pegang-pegangan yang mengalami penurunan nilai tahunan.

“Kerja mengemaskini pegangan ini berdasarkan kepada seksyen 144, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang membenarkan kerja-kerja penilaian ini dijalankan sepanjang masa atas faktor perubahan status pegangan yang berlaku.

“Jadi saya harap sesetengah pihak itu jangan ambil kesempatan dengan perkara ini, jangan keluarkan tuduhan serta menghasut orang lain kerana ianya sama sekali tidak benar,” ujar beliau.