IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan memperkenalkan konsep bazar ‘trending’ di tiga lokasi sekitar bandar raya Ipoh bagi menghindarkannya menjadi sebuah kawasan ‘mati’.

Tiga lokasi itu yang akan dilaksanakan pada pertengahan Februari 2017 ialah Jalan Masjid berdekatan Masjid Panglima Kinta, Lorong Belakang Jalan Masjid dan Medan Perhentian , Medan Kidd.

Menurut Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man, pemilihan lokasi itu berdasarkan faktor nilai warisan dan sejarah yang pernah wujud suatu masa dahulu, namun kini ianya suram dan seakan kawasan ‘mati’.

“Konsep yang dicadangkan merupakan konsep yang ‘trending’ masa kini dan bersesuaian dengan imej bandar raya Ipoh sebagai bandar raya ‘hipster’.

“Tiga kawasan ini suatu masa dahulu memang aktif dan dipenuhi dengan aktiviti orang ramai, kita mahu wujudkan ‘wow factor’ supaya dapat menghidupkan kembali kerancakan di situ,” katanya ketika Sesi TownHall bersama pemilik premis Medan Perhentian, Jalan Masjid dan Lorong Masjid di Bilik Gerakan, Bangunan MBI, Ipoh pada Khamis.

Zamri menjelaskan, bazar yang dicadangkan adalah Bazar Islam Masjid Panglima Kinta, Bazar Lorong Seni, Jalan Masjid dan Medan Kidd Bazar.

Ketiga-tiga bazar itu menekankan tiga aspek berbeza untuk menarik lebih ramai pelancong ke Perak amnya dan Ipoh khususnya.

“Disebabkan kita ikut peredaran zaman, maka konsep yang diketengahkan berbeza mengikut kehendak orang ramai, untuk Bazar Islam umpamanya, ia hanya akan dibuka pada hari Jumaat dengan menjual pelbagai barangan berunsurkan Islam.

“Bazar Lorong Seni pula ada busker, lukisan, cenderamata dan persembahan budaya manakala Medan Kidd Bazar pula mengkhususkan kepada food truck, busking, car boot sale, bundle dan produk pelancongan,” ujarnya.

Pengurusan peserta yang bertindak sebagai penjaja untuk bazar ini pula akan diuruskan oleh pihak penganjur untuk lokasi bazar masing-masing dan dipantau oleh pihak MBI.

 

anne-zahureen
Menurut penganjur bagi Bazar Lorong Seni, Anne Zahureen, kewujudan bazar itu bakal merancakkan lagi sektor pelancongan di Ipoh selain memperkenalkan warisan Perak kepada pengunjung.

“Kami sebagai penganjur sangat teruja dengan konsep ini disebabkan inilah peluang kita untuk tonjolkan kesenian negeri, banyak cadangan yang kami sedang pertimbangkan di bazar itu nanti.

“Mungkin kita boleh buat demonstrasi pembuatan labu sayong dan bengkel ‘Moh Belajar Cakap Perak’…setakat ini sambutan daripada penjaja sangat menggalakkan,” katanya.