IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berjaya memperoleh Sijil Bersih Penyata Kewangan selama 10 tahun berturut-turut serta mencapai penilaian 5 bintang dalam Pengauditan Indeks Akauntabiliti oleh Jabatan Audit Negara.

MBI juga menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama menerima Sijil Pematuhan ‘Standard Accounting System For Government Agencies (SAGA) bagi Sistem Perakaunan dan Kewangan yang dikeluarkan oleh Jabatan Akauntan Negara.

Pengarah Perbendaharaan Bandaraya, Mohd Syazlan Mohd Isa Suffian berkata, kejayaan yang diperolehi pengurusan kewangan menunjukkan sistem perakaunan yang dibangunkan sendiri berkualiti dan komprehensif.

“Sijil yang menunjukkan penyata kewangan majlis diurus dengan baik membabitkan kriteria hasil, belanja, aset liabiliti dan harta MBI.

“Jumlah hasil yang dikutip berjaya menampung jumlah belanja meskipun kos operasi meningkat setiap tahun. Adalah menjadi tanggungjawab jabatan untuk menguruskan kewangan dan mengekalkan prestasi menerima sijil bersih,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Penuh Majlis MBI yang dipengerusikan oleh Mejar (B) Kamaruddin Abd Aziz di sini, semalam.

Sementara itu, Kamaruddin berkata, MBI telah menawarkan pembelian pas bulanan dengan penjimatan sehingga RM170 kepada penduduk yang mohon pas bulanan letak kereta.

“Borang permohonan lengkap bol;eh dimuat turun di laman sesawang MBI manakala, pemegang pas bulanan sedia ada boleh terus ke Kaunter Pas bulanan di Jalan bandar bagi membuat pembelian berbaloi,” katanya ketika berucap pada majlis itu – sinar