IPOH: Seramai 100 orang warga bandaraya Ipoh yang kurang bernasib baik, termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) menerima sumbangan sempena kedatangan Tahun Baharu Cina tidak lama saja lagi.

Program itu merupakan kerjasama di antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Majlis Masyarakat Sivil (MMS).

Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man di Dewan Bandaran di sumini pada Rabu.

Hadir sama Setiausaha Bandaraya, Mohd Zakuan Zakaria, Ketua WHIP MMS, Sani Kamaruddin serta Ahli-Ahli MMS.

Zamri di dalam ucapannya berkata, program itu tidak hanya memberi fokus kepada kaum Cina tetapi turut merangkumi kaum India dan Melayu.

“Kaedah sumbangan seperti ini dengan pelbagai rakan strategik bersama-sama menjayakannya adalah salah satu langkah murni.

“Sudah pasti tiada titik akhir untuk program seumpama ini dan akan diteruskan bagi setiap perayaan utama di Ipoh,” ujarnya.

Program ini turut mendapat kerjasama daripada Yayasan Bina Upaya (YBU), Chiang Jiang International Sdn. Bhd. dan Bernas Impresif Sdn. Bhd.

Tahun ini masyarakat Cina menyambut Tahun Ayam yang menjadi simbolik kepada ketepatan waktu dan disiplin manusia.