IPOH: Kira-kira 1,000 warga Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membanjiri Dewan Bandaran pagi ini bagi meraikan sambutan Deepavali sempena Perhimpunan Khas Deepavali MBI 2018.

Perhimpunan dimulakan dengan perarakan masuk Ahli Majlis MBI yang mewakili Datuk Bandar, A. Ganesan dan Setiausaha Bandaraya, Mohd Zakuan Zakaria.

Dalam ucapan yang dibacakan Ganesan, Datuk Bandar berkata, MBI akan meneruskan usaha untuk mempromosi dan meningkatkan tarikan kawasan beridentiti budaya India yang unik seperti Zon Little India di Pekan Lama dan Kampong Kacang Putih di Buntong.

“Kawasan-kawasan ini telah banyak menyumbang terhadap pembangunan pelancongan di Ipoh sehingga diiktiraf sebagai bandar ke-6 perlu dilawati di Asia oleh Majalah Lonely Planet,” katanya.

Menurut beliau, MBI juga akan meneruskan komitmen untuk memajukan kawasan yang mempunyai identiti budaya India .

Tambahnya, ini dapat dilihat dengan jelas melalui pelbagai inisiatif khusus yang telah disarankan untuk mengekalkan identiti kawasan ini dalam Rancangan Tempatan Majlis Bandaraya Ipoh 2020 dan Rancangan Kawasan Khas Pekan Ipoh Bandar Warisan Bijih Timah.

Menurutnya, MBI berharap dengan dengan penganjuran Perhimpunan Khas Sambutan Deepavali itu akan terus mengeratkan silaturrahim di kalangan anggota MBI tanpa mengira status.

“Kita juga berharap cahaya sambutan ini akan terus menerangi kehidupan semua wargakota untuk hidup dalam keadaaan yang aman dan harmoni,” ujarnya.