Oleh: Nazialita Geynna

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersiap sedia untuk menghadapi musim perayaan Aidilfitri kali ini dengan menambah bilangan petugas dan jentera pengangkut sampah.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, seramai 300 anggota MBI akan mengorbankan cuti Hari Raya mereka dan bertugas sepenuh masa until keselesaan wargakota Ipoh.

Malah, katanya, menyedari pertambahan jumlah sampah domestik di musim perayaan, MBI akan menambah bilangan jentera pengangkut sampah selama 13 hari semasa musim perayaan di lokasi-lokasi tumpuan di Ipoh.

“Anggota MBI akan menunaikan solat sunat Hari Raya pada pagi hari raya pertama dan mereka akan bekerja pada sebelah petang.

“Tumpuan akan diberikan di kawasan rekreasi untuk memastikan keselesaan rakyat dan pelancong yang mengambil peluang untuk bercuti sempena Aidilfitri.

“Antara jabatan yang akan bertugas di musim perayaan ini ialah Jabatan Lanskap, Jabatan Kebersihan Bandar dan Unit Penguatkuasaan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media
selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Anggota MBI sempena Hari Raya Aidilfitri 2017/1438H di Dewan Bandarandi sini hari ini.

Zamri berkata, pihaknya juga akan memastikan
kawasan tumpuan seperti pasar basah, pusat pembuangan sampah dan taman-taman perumahan dipantau dari semasa ke masa bagi mengelakkan sebarang aktiviti pembuangan sampah haram.

“Inilah pengorbanan yang dilakukan oleh kakitangan MBI. Ramai yang tidak dapat melihatnya kerana mengganggap kami ini kerja saman orang parkir sahaja.

“Tetapi apa yang kami lakukan ini adalah untuk keselesaan masyarakat Ipoh, biarpun di musim perayaan,” katanya lagi.