IPOH: Dalam usaha untuk mengekalkan status Ipoh sebagai Bandaraya Terbersih di Malaysia dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sebagai Pihak Berkuasa Tempatan Terbaik di Malaysia, MBI akan meneruskan tindakan tegas terhadap pembuangan sampah haram di Bandaraya Ipoh.

Datuk Bandar, Datuk Zamri Man berkata, tanggungjawab itu bukanlah terletak di bawah MBI semata-mata tetapi memerlukan penglibatan daripada semua pihak.

Menurut beliau, maklumat mengenai kejadian pembuangan sampah haram di Bandar Baru Bercham boleh dijadikan contoh di mana kerjasama antara MBI dan wargakota Ipoh penting dalam memastikan Ipoh kekal sebagai bandar terbersih Malaysia.

Sehubungan itu, katanya, MBI akan mengambil tindakan kompaun bernilai RM250 di bawah Akta Jalan, Parit & Bangunan terhadap pembuang sampah haram tersebut.

“Bagaimanapun, tindakan mengkompaun adalah tindakan terakhir setelah tindakan lain tidak diendahkan oleh wargakota Ipoh,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Untuk makluman, dari 1 Januari hingga 31 Disember 2017, MBI telah membersihkan 17,127 lokasi longgokan sampah haram dan mengeluarkan 2,405 kompaun bernilai RM507,400.

Datuk Bandar berkata, MBI juga turut menjalankan 100 gotong-royong serta memasang 831 papan tanda “Dilarang Membuang Sampah” di sekitar Bandaraya Ipoh.

“Semoga Bandaraya Ipoh akan terus mengekalkan status sebagai Bandaraya Terbersih di Malaysia,” ujarnya.