Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terus unggul sebagai penanda aras pihak berkuasa tempatan (PBT) di negara ini apabila sekali lagi tersenarai sebagai calon PBT terulung di Malaysia.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Halimi Abdul Manaf berkata ianya terbukti dengan pemilihan MBI sebagai salah satu daripada enam PBT terulung dalam tapisan pertama pihaknya.

Katanya, penilaian tersebut dilaksanakan secara berperingkat melalui Anugerah Inovasi PBT (AIPBT) Malaysia 2017 yang menampakkan kerjasama serta pentadbiran cekap yang wujud di antara semua pihak di dalam MBI.

“Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada MBI kerana atas pelbagai inisiatif yang dijalankan sepanjang tahun ini dan tahun lepas masalah yang disuarakan rakyat diambil kira, diperhalusi dan tindakan susulan dilaksanakan.

MBI-PBT 2

“Inilah kriteria sebenar sebuah PBT yang bukan sahaja wujud sebagai sebuah entiti yang memudahkan aturcara kehidupan seharian rakyat setempat tetapi sentiasa berfikiran maju dan kreatif dalam mendekati masyarakat,aduan diterima dan didengari telus, hubungan begini harus dikekalkan,”katanya di Konti Radio MBI, di sini pada pagi Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat ringkas mengenai penguatkuasaan dan perlaksanaan bersepadu oleh pihak MBI dalam merintis pelbagai usaha untuk kemudahan penduduk setempat di Ipoh.

Turut hadir,Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Abu Bakar Johar dan Datuk Bandar Ipoh,Datuk Zamri Man serta ahli panel Anugerah Inovasi PBT 2017.

Sementara itu,Datuk Zamri Man berkata pihaknya sentiasa memastikan gerak kerja MBI berjalan seiring dengan Pelan Transformasi PBT yang menekankan aspek CTI atau Cepat, Tepat dan Integriti.

“Jika sebelum ini kita pernah merangkul tempat kedua dalam AIPBT dalam Sektor Awam maka tahun ini kita mensasarkan untuk pergi lebih jauh dalam memastikan kualiti perkhidmatan yang terbaik.

“Ianya akan merangkumi pelbagai sektor termasuklah aspek inovasi, pengurusan kewangan, pelancongan, lanskap, kemudahan dan terbaru pengiktirafan daripada KETTha melibatkan penggunaan teknologi hijau yang efisien.

“Kami percaya, ini merupakan panduan untuk meletakkan MBI sebagai PBT berkelas dunia, dengan menyedari persaingan sihat daripada pelbagai PBT seluruh negara,”katanya lagi.

Zamri berkata, sebanyak 29 idea inovasi MBI akan dinilai oleh panel penilaian AIPBT merangkumi sektor alam sekitar, sosial, perkhidmatan dan sistem.

MBI-PBT 3