IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan meningkatkan pengawasan di kawasan papan tanda Ipoh bagi mengelakkan kejadian orang awam memanjat papan tanda itu, daripada berulang.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, antara langkah pengawasan yang dirancang, termasuk untuk memagar kawasan berkenaan.

Menurutnya, terdapat dua sahaja papan tanda berkenaan iaitu di tepi lebuhraya PLUS berhampiran Gopeng dan di Jalan Kuala Kangsar.

ipoh-sign

“Tetapi yang paling bahaya di Jalan Kuala Kangsar yang dipanjat oleh tujuh orang awam,” katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah Ahli Majlis MBI di sini pada Jumaat.

Awal tahun ini, Malaysia dikejutkan dengan tindakan berani mati tujuh belia lelaki dan wanita yang memanjat papan tanda Ipoh di Jalan Kuala Kangsar, tanpa ciri-ciri keselamatan.

Selang beberapa minggu kemudian, seorang lelaki pula memuat naik gambarnya di laman sosial, yang diambil dari atas papan tanda Ipoh di tepi lebuhraya PLUS berhampiran Gopeng.

Zamri berkata, perkara tersebut telah dilaporkan kepada pihak polis dan terpulang kepada pihak berkenaan untuk menyiasat dan mengambil tindakan seterusnya.