KUALA TERENGGANU: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menurunkan lebih 1,000 bendera parti politik pelbagai saiz yang dipasang di kawasan tidak dibenarkan.

Tindakan itu terpaksa dilakukan berikutan ada pemimpin parti politik gagal mematuhi larangan penguatkuasaan pemasangan bendera parti di semua jambatan, bulatan dan di kawasan rumah ibadat di negeri ini dan ia mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Samiun Salleh, berkata notis larangan pemasangan bendera parti di tempat awam terutama di kawasan berisiko sudah dikeluarkan kepada semua pemimpin parti politik.

Beliau berkata, MBKT akan mengambil tindakan tegas termasuk menanggalkan semua bendera parti yang dipasang pada tiang letrik dan telefon, di atas jambatan, bulatan serta pagar rumah ibadat.

“MBKT sudah memanggil semua pemimpin politik dan memberi penjelasan mengenai lokasi dilarang untuk pemasangan bendera.

“Tetapi malangnya masih ada pemimpin politik yang gagal mematuhi peraturan menyebabkan kita terpaksa bertindak menanggalkan bendera parti,” katanya kepada BH, hari ini.

Samiun berkata, berdasarkan peraturan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bendera parti sepatutnya belum boleh dipasang sehingga hari penamaan calon seperti ditetapkan pada 28 April depan.

“Parti politik juga perlu membayar wang deposit bahan kempen pilihan raya sebanyak RM5,000 untuk kawasan Parlimen dan RM3,000 bagi kawasan Dewan Undangan negeri (DUN).

“Sebelum operasi menanggalkan bendera parti dilakukan hari ini, kita sudah memanggil pemimpin parti politik dan mereka memberi kesanggupan menanggalkan sendiri bendera dipasang pada tiang elektrik dan di atas jambatan Kuala Ibai,” katanya.

Samiun berkata, dalam operasi pagi tadi, lebih 1,000 bendera pelbagai saiz dipasang di kawasan tidak dibenarkan di beberapa lokasi termasuk di kawasan masjid di Kampung Kubang Tangga, Chendering, ditanggalkan.

“Tindakan itu diambil mengikut Undang-Undang Kecil Akta Pilihanraya dan Perintah 6 (1), Undang-Undang Kecil Kerajaan Tempatan (Iklan Pilihan Raya) 1990,” katanya.