KAMPAR: MCA mengutuk sekeras-kerasnya cadangan untuk menamatkan pemberian biasiswa persekutuan kepada pelajar minoriti di negara ini.

Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyifatkan cadangan yang dikeluarkan oleh bekas Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Abdul Raof Husin itu amat tidak masuk akal dan langkah kebelakang.

Menurut beliau, mana-mana kaum di negara ini tidak seharusnya dianaktirikan dalam soal pendidikan kerana ianya melibatkan masa depan negara.

“Ini amat tidak masuk akal, tidak sepatutnya mana-mana pelajar dianaktirikan, tidak kira minoriti atau sebagainya kerana pendidikan adalah penting, ia adalah peluang terbaik untuk mereka keluar daripada kitaran kemiskinan.

“Saya tegaskan sekali lagi pendidikan adalah untuk semua, sangat tidak adil untuk memberi cadangan sebegitu sekali,” katanya pada satu sidang media di sini pada Ahad.

Katanya, cadangan yang dikeluarkan oleh Abdul Raof itu seolah-olah mahu memecah belahkan rakyat dan tidak sewajarnya datang daripada seorang bekas pengajar.

“Mana-mana pihak guna isu pendidikan untuk pecah belahkan rakyat kita mengutuk sekeras-kerasnya, tidak kira apa juga taktik yang digunakannya.

“Kenyataan itu hanya mahu porak-perandakan pendidikan, kita tak akan terima dan MCA akan pastikan pendidikan untuk semua terus diperjuangkan,” tegas beliau.

Memetik laporan sebuah akhbar, Abdul Raof baru-baru ini telah memberi cadangan untuk kerajaan menamatkan biasiswa persekutuan untuk pelajar minoriti di negara ini ketika berucap dalam Kovensyen Kebangkitan Ummah di ibu negara.