KUALA LUMPUR : MCA tidak bersetuju sistem Westminster yang sekian lama dilaksanakan di negara berubah menjadi sistem Presiden sebuah republik yang mempunyai kuasa mutlak untuk melantik individu menyertai Jemaah Menteri tanpa melalui parti komponen.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, sistem yang dicadangkan itu tidak menjamin kepada kesuburan demokrasi yang telah dipraktikkan sejak sekian lama serta ia juga berupaya melenyapkan proses semak dan imbang terhadap kerajaan pemerintah

“Saya enggan melihat sistem demokrasi di Malaysia berkembang sehingga tiada lagi peranan pembangkang apabila PM disokong penuh oleh kesemua 222 orang Ahli Parlimen. Apakah ini sebuah demokrasi subur yang kita mahu lihat?

“Apabila PM disokong oleh semua Ahli Parlimen, maka kuasa mutlak diberi kepada PM untuk membuat apa saja dengan slogan “ikut suka saya”.

“Maka, saya lebih rela menjadi pembangkang untuk memberi “semak dan imbang” kepada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Ka Siong berkata, biarlah rakyat menentukan atau memberi mandat kepada sesiapa yang diyakini mampu untuk mengemudi negara yang terumbang-ambing selepas kegagalan pentadbiran serta tumbangnya PH angkara perbuatan mereka sendiri.

Katanya, keputusan yang diambil ini juga selari dengan hasil Mesyuarat Majlis Presiden MCA, beberapa jam sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong iaitu sebulat suara bersetuju menyerahkan kepada rakyat bagi menentukan siapa pucuk pimpinan negara menerusi pembubaran Parlimen.

Meskipun begitu, MCA yakin, sebarang keputusan yang bakal dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong wajar dipatuhi oleh semua rakyat dan pastinya keputusan itu dibuat demi kepentingan negara secara menyeluruh. – MalaysiaGazette